Saturday, August 7, 2010

tersurat & tersirat...

tersebutlah kisah dalam sebuah negeri yang tidak seberapa indahnya, juga kehidupan rakyat yang tidak seberapa senangnya...akan tetapi tiadalah pula si rakyat ini papa kedana, melainkan cukuplah bagi mereka makan minum dan pakai seadanya...

akan di dalam negeri itu, terletaklah sebuah kampung yang amat sedih taraf kehidupannya, berkais pagi makan pagilah mereka, berkais petang disimpanlah untuk malamnya...diamnya mereka itu dalam rumah2 kecil, yang apabila bertembung sesama mereka di dalam rumah, berlaga hidung jualah adanya mereka itu...akan hasil yang diperolehi, maka disimpanlah oleh mereka untuk kegunaan musim bencana...

sayugia pada suatu ketika, dicananglah oleh juak2 dari istana bahawa raja akan melawat ke kampung ini...bergundah jualah akan penduduk kampung untuk menyambut raja mereka...berkumpul bincanglah mereka hingga ada yang bertegang leher bertarik urat...ada yang mahu berkenduri menyambut, tidak kurang jua yang membantah kerana peri susahnya kehidupan mereka...sesudah bertempur bahas, bersetujulah mereka itu untuk menyambut raja mereka itu dengan keramaian, agar terjagalah air muka mereka pada pandangan raja mereka...

tiba hari yang dicanang, bekerjalah mereka menyusun keramaian, bersiap menyambut hadirnya raja...maka keluarlah seluruh penduduk kampung berduyun-duyun...yang buta datang bertongkat, yang pekak tertanya2, yang tinggi tertunduk2 dan yang pendek terjenguk2...sepertinya dirancang oleh mereka, maka tumbanglah lembu seekor untuk dijamu seluruh kampung, juga untuk hidangan si raja.. didirikan bangsal buat teduhan raja dan berpakaian cantiklah penduduk kampung, memakai segala perhiasan buat tampil cantik di depan raja...tiadalah jua dipakai oleh mereka melainkan pakaian yang paling cantik yang mereka simpan dalam gerubuk buruk mereka...

tibalah si raja dengan senyum meleret, melambai semua hamba rakyat yang menunggu... sukacitalah akan dirinya kerana disambut sebegitu rupa dan gembiralah hatinya menerima sambutan aluan hamba rakyatnya...tersenyumlah baginda sepanjang keramaian melihat hamba rakyat dengan pakaian bersinar2...terharulah baginda melihat kegembiraan rakyatnya, mengundang hatinya merasa bangga...

seusai majlis, berangkatlah baginda meninggalkan majlis diiring pembesar istana yang setia menemani...seraya berangkat, bertuturlah baginda kepada para pembesar...

"beta amatlah gumbira kerana hamba rakyat beta hidup dalam kesenangan...mereka mampu berpakaian cantik, dan mampu jualah mereka menumbang lembu buat menyambut kedatangan beta...beta bangga memerintah negeri ini..."

No comments:

Post a Comment